Selimut Putih buka jalan pengislaman Yusuf

yusof-abdullah.jpg

Yusuf Abdullah

Oleh ZUARIDA MOHYIN

BAIT-BAIT yang terkandung dalam lirik lagu Selimut Putih di atas pastinya mengundang satu peringatan yang cukup menusuk kalbu. Malah tidak keterlaluan jika penulis katakan yang ia bukan sahaja begitu syahdu, penuh keinsafan tetapi cukup meremangkan bulu roma setiap orang yang mendengarnya.

Hakikatnya, inilah realiti perjalanan kehidupan manusia di atas muka bumi iaitu melalui detik di ambang maut. Yang pasti, setiap yang hidup itu akan menemui kematian.

Sebagai seorang Muslim, kita sentiasa berdoa agar dimatikan dalam keadaan beriman. Apatah lagi, kehidupan selepas kematian itulah yang kekal.

Berbalik kepada lagu yang sarat pengajaran di atas, rupa-rupanya ia telah menyentuh hati seorang anak remaja Orang Asli dari Kampung Orang Asli, Kilometer 9.6, Jalan Cameron Highlands, Tapah, Perak, sehingga ia menjadi salah satu sebab yang membawa kepada pengislaman beliau, lebih 15 tahun yang lalu.

Kini, kanak-kanak dari suku Semai itu telah berkhidmat sebagai Penggerak Masyarakat Orang Asli di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Yusuf Abdullah, 45, bertanggungjawab dalam urusan dakwah dah kebajikan masyarakat Orang Asli khususnya di Hulu Selangor.

Untuk pengetahuan umum, terdapat 16 perkampungan Orang Asli di sekitar Hulu Selangor.

“Namun saya bertanggungjawab ke atas empat perkampungan iaitu; Kampung Orang Asli Bukit Manchong, Bukit Beruntung, Kampung Orang Asli Sungai Garing, Sungai Buaya, Kampung Orang Asli Sungai Kelubi, Bandar Country Homes, semuanya di Rawang dan sebuah lagi di Kampung Orang Asli Pertak, Kuala Kubu Baru.

“Kebiasaannya tugas penggerak antaranya mengajarkan kelas-kelas fardu ain, menjadi imam di surau, menguruskan kematian, perkahwinan, pengislaman dan boleh dikatakan mengendalikan apa sahaja hal ehwal dan kebajikan berkaitan orang Asli terutamanya yang beragama Islam,” terang Yusuf yang juga Ahli Jawatankuasa Badan Kebajikan Orang Asli Islam Malaysia.

Menceritakan pengalamannya yang telah berkhidmat hampir 15 tahun di perkampungan Orang Asli akui Yusuf, bergelar Orang Asli adalah satu bonus bagi dirinya.

Pun begitu, cabaran dalam membentuk seorang Muslim Orang Asli yang sejati, membuka minda serta memperbaiki taraf hidup Orang Asli Muslim, ia tetap sama setiap yang bergelar pendakwah.

Katanya, untuk menjadikan Islam sebagai satu cara hidup bagi Orang Asli memerlukan kesabaran dan kreativiti pendakwah itu dalam menarik perhatian mereka.

Sebabnya, pegangan fahaman anamisme dalam kehidupan masyarakat Orang Asli sudah terlalu lama diwarisi, maka untuk merubah pastinya mengambil masa dan perlukan pendidikan agama Islam yang berterusan.

“Ini tidaklah bermakna ia adalah satu kerja yang sukar tetapi saya percaya kalau kita mengambil berat soal kebajikan Orang Asli, lambat laun kita akan memperoleh kepercayaan daripada mereka.

“Apatah lagi, matlamatnya untuk manfaat Orang Asli khasnya dari segi pendidikan dan ekonomi mereka. Ini telah mewujudkan hubungan yang mesra, sekali gus memudahkan kerja-kerja dakwah dan pertarbiahan.

“Pokoknya, apabila kita melakukan sesuatu itu atas dasar ikhlas kerana Allah s.w.t. dan demi pembangunan ummah, semuanya akan dipermudahkan oleh-Nya. Bagi saya, apa juga program yang dibuat untuk masyarakat Orang Asli di Hulu Selangor ini, sentiasa mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak sama ada agensi kerajaan mahupun swasta,” jelas Yusuf sewaktu ditemui di Pejabat Agama Islam Kuala Kubu Baru, Selangor, baru-baru ini.

Mengimbas kenangan silam pengenalan awalnya dengan agama Islam, kata Yusuf, semuanya bermula sewaktu berada di sekolah rendah. Malah beliau sendiri tidak menyangka Islam menjadi pilihan pegangan kepercayaannya.

Namun, kesyumulan dan kesempurnaan Islam yang meliputi semua bidang kehidupan telah menyakinkan dirinya akan kekuasaan Allah sebagaimana dijelaskan dalam al-Quran.

Allah berfirman: Dialah Allah tuhanmu, tidak ada tuhan melainkan Dia, Pencipta segala sesuatu, kerana itu hendaklah kamu menyembah-Nya dan Dia adalah pemelihara segala sesuatu. (al-An’am: 102)

“Saya masih ingat lagi, bagaimana saya sentiasa mengikuti kelas agama sungguhpun pelajar bukan Islam diberi pilihan untuk tidak mengikutinya. Malah pada usia sembilan tahun saya sudah tidak makan daging babi.

“Saya juga selalu mengikut perlakuan seorang ustaz di sekolah seperti mengambil wuduk dan bernasyid. Masa inilah, lagu Selimut Putih begitu menusuk dan sentiasa bermain dalam fikiran,” katanya.

Pendedahan terhadap persekitaran Islam berterusan sehinggalah Yusuf bersekolah di peringkat menengah meskipun telah menyambung pelajaran di Sekolah Vokasional Kemunting, Taiping, Perak.

“Sepanjang pengajian di sana, saya semakin serius mengkaji dan mendalami agama Islam iaitu menerusi buku-buku. Pada masa itu juga saya mempraktikkan ibadat puasa dengan alasan untuk merasai sendiri pengalaman baru itu,” kata Yusuf yang akhirnya mengucap dua kalimah syahadah di Pejabat Agama Islam Ipoh, Perak pada 3 Julai 1981.

Pengalaman

Menurut Yusuf, pengalaman paling menyedihkan selepas bergelar Muslim ialah beliau tidak mempraktikkan solat kerana ketiadaan bimbingan. Sifat kealpaan itu berterusan hampir beberapa tahun tetapi peluang melanjutkan pengajian ilmu agama di Institut Dakwah Islamiah Perkim (IDIP) selama empat tahun menjadi lorong awal dalam usaha pemantapan ilmu.

“Sayangnya apabila tamat pengajian pada tahun 1987, hasrat saya untuk meneruskan pelajaran ke sebuah institut pengajian agama iaitu Institut Agama Islam Negeri di Indonesia tidak kesampaian kerana tiada penajaan. Perancangan ke Maahad Darul Ulum di India juga tidak tercapai atas sebab yang sama.

“Kemudian, saya terus mengajar di Sekolah Agama An-Nur di Gombak di mana sekolah itu di bawah pengendalian Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA). Pada masa yang sama saya melibatkan diri secara sukarela dengan Badan Dakwah dan Kebajikan Islam Ar-Rahmaniah di Kampung Baru. Kami banyak membuat program Orang Asli khususnya di Semenyih,” terang Yusuf.

Selain itu, beliau juga aktif dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antaranya Badan Kebajikan Orang Asli Islam Semenanjung Malaysia (Bakois), Perkim Cawangan Serendah, Selangor, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Jemaah Islam Malaysia (JIM) Cawangan Hulu Selangor.

Kejayaan usaha pasukannya dalam meningkatkan taraf kehidupan masyarakat Orang Asli wajar mendapat pujian dan dicontohi penggerak-penggerak lain.

Antara kejayaan mereka ialah berjaya mengislamkan seramai 237 Orang Asli sekarang berbanding hanya terdapat 13 orang mualaf pada tahun 1993. Jumlah keseluruhan penduduk Orang Asli di Perkampungan Orang Asli Bukit Manchong ialah seramai 558 orang.

Mereka juga berjaya menyediakan kemudahan asas seperti air, elektrik dan membina surau di Perkampungan Orang Asli Kampung Manchong, Bukit Beruntung, Rawang, penganjuran pelbagai program kerjasama dengan agensi kerajaan dan NGO.

Selepas 15 ‘kembali’ kepada Islam, Yusuf berpesan kepada para mualaf tidak kira bangsa agar jangan menyesal dengan keputusan pengislaman waima pelbagai badai yang melanda. Ini kerana setiap dugaan itu ada hikmah di sebaliknya dan apabila berjaya mengharunginya barulah dirasai kemanisan iman.

Katanya, sanggup berkorban adalah satu kemestian kepada golongan saudara baru kerana dugaan disisihkan keluarga dan masyarakat memang terpaksa ditempuhi.

“Seperkara yang paling penting ialah mereka ini jangan jemu mencari ilmu, belajar, praktik apa yang dipelajari, selalu merapatkan diri dengan mereka yang arif agama untuk dijadikan rujukan.

“Selain itu, sentiasalah menjaga hubungan baik dengan Allah kerana Allah Maha Pengasih Lagi Penyayang dan kepada-Nya tempat sewajarnya kita meminta bukan kepada manusia,” kata Yusuf yang berkahwin dengan Nurul Amnani Silvapony Abdullah, 41, dan dikurniakan lima cahaya mata di antara usia tujuh hingga 17 tahun.

Ditanya kenangan paling bemakna sepanjang melaksanakan tugas dakwah, akui Yusuf saat itu diperoleh apabila dapat mengislamkan adik lelakinya serta membimbing dan mentarbiahnya. Tambah mengembirakan apabila melihat perubahan adiknya itu yang mempraktikkan setiap amalan dalam Islam secara istiqamah.

Rujukan : http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt=1213&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s