PERUTUSAN MAAL HIJRAH 1429
Mari Bersama Menghayati Bulan-Bulan Islam

AssalamualaikumwarahmatuLlahiwabarakatuh
Selamat Menyambut Maal Hijrah 1429H kepada semua ummat Islam. Semoga 1429H ini akan menjadi tahun mujahadah yang lebih kuat dalam kita menentang iblis dan syaitan. Ma’al Hijrah yang kita sambut merupakan ibadah, berbeza dengan dengan acara sambutan 2008 yang penuh upacara fasik dan maksiat. Saya sendiri bersama dengan Dewan Pemuda Shah Alam turun ke Stadium Shah Alam dalam program XPDC dakwah.
Ramai orang yang datang bersesak-sesak untuk beberapa tujuan. Yang jelasnya ialah ingin melihat cahaya bunga api yang begitu mengkagumkan. Mat Rempit pula mengambil peluang keemasan ini untuk merempit sempena 2008. Nampaknya tidak bersalah kerana merempit untuk sambutan 2008.
Bagi kita pendokong Islam, tahun 1429H dilihat bukan sekadar percikan cahaya bunga api yang waktu dilancarkan indah, tetapi hilang beberapa ketika. Kita melihat lebih jauh lagi dengan cahaya Islam yang tetap tidak akan padam dan tetap bersinar dan menyerlah walaupun ada segolongan kafir dan munafiq ingin memadamkannya.
Saya menyeru semua ahli membuat suatu reformasi minda. Marilah kita sama-sama mendahului bulah Hijriah daripada bulan Masihi. Ini telah dimulakan oleh Mursyidul Am PAS selaku Menteri Besar Kelantan, TG Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam sistem pentadbiran Kelantan dengan mengeluarkan kalender Hijriah. Setelah lama penjajah menjajah Tanah Melayu, mereka telah berjaya membutakan masyarakat dengan bulan-bulan Masihi.
Tidak dapat dinafikan lagi bahawa kita pemuda-pemuda pendokong Islam mesti mengutamakan bulan Islam. Jika sebelum ini sambutan hari lahir disambut mengikut tahun masihi, maka berubahlah dengan menyambutnya ikut bulan Islam. Jika sebelum ini menyambut Ulang Tahun perkahwinan dalam tahun masihi, maka berubahlah dengan menyambutnya mengikut bulan Islam.
Muhammad Amin bin Hj Che Hassan bin Hj Abdul Rahman bin Awang Hamat bin Sulaiman al-Kalantani
29 Dzulhijjah 1428H bersamaan 8 Januari 2008
http://amin1982.worpress.com