HIJRAH TERPAKSA DAN HIJRAH PILIHAN

2/1/1429

 Pembaca budiman semua,Saya ingin menyampaikan peringatan kepada semua berkaitan dengan beberapa konsep hijrah yang mudah kita fahami.  Saya bahagikan konsep ini kepada dua. Pertama, hijrah yang setiap manusia terpaksa melaluinya. Kedua, hijrah yang manusia boleh memilihnya. Pertama : Hijrah yang setiap manusia terpaksa melaluinya.

  1. Daripada syurga ke bumi (Nabi Adam)
  2. Daripada mati kepada hidup
  3. Daripada alam rahim kepada alam dunia
  4. Daripada muda kepada tua
  5. Daripada hidup kepada mati
  6. Daripada alam barzakh kepada Mahsyar

Bahagian pertama ini, manusia semua tidak kira dia Melayu, China, India, Siam ataupun apa bangsa sekalipun semua akan berhadapan. Orang mu’min ataupun orang kafir pun semua akan berhadapan. Orang rajin solat dengan orang malas solat pun berhadapan. 

Kedua : Hijrah aqidah/sikapHijrah sikap ini bergantung atas kemahuan setiap manusia. Pertamanya : Sebesar-besar hijrah ialah berhijrah daripada syirik kepada Allah SWT kepada beriman kepada Allah SWT. Inilah yang diutus para rasul dan para nabi untuk mengubah sikap manusia yang syirik kepada Allah SWT. Tetapi ada sebahagian yang beriman dan ada sebahagian yang tak mahu beriman. 

Yang kedua : bagi orang muslim dia berhijrah daripada tangga pertama muslim kepada tingkatan mukmin. Mukmin maknanya benar-benar melaksanakan seluruh perintah Allah dan meninggalkan segala larangan Allah SWT. Yang ini pun bergantung kepada kehendak dan kesungguhan orang Islam itu sendiri. 

Yang ketiga :hijrah daripada jahil kepada berilmu. Kalau kita sebelum ini tidak pandai ataupun tak tahu khususnya berkaitan dengan ilmu-ilmu agama, maka kena berusaha untuk dapatkannya dengan cara pergi solat berjemaah dan mendengar kuliah-kuliah agama. 

Kesimpulannya, hijrah yang terpaksa kita melaluinya tetap akan berlaku. Kita mahu ataupun tidak mahu, ia tetap juga akan berlaku. Lambat ataupun cepat sahaja. Hijrah yang kedua bergantung kepada kita. Jika kita hendak dapat kebaikan pada destinasi yang terakhir nanti iaitu di padang mahsyar kelak, hendaklah kita berusaha berhijrah bersungguh-sungguh. Jangan ada sikap bertangguh, kerana dalam al-Quran banyak Allah SWT menceritakan orang-orang berdosa yang hendak pulang semula ke bumi hendak buat kebaikan tetapi sudah tidak boleh. 

Advertisements