Rahsia Tahun Masehi

Firman Allah S.W.T.:”……Dan siapakah yang lebih zalim daripada orang yang menyembunyikan keterangan (saksi dan bukti) yang telah diberikan Allah kepadanya?” Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang telah kamu lakukan.” (Al-Baqarah: 140)  

Setiap tahun, tanggal 1 Januari seluruh umat manusia di atas muka bumi ini seolah-olah sedang merayakan satu hari keramat dalam kalendar sejarah peradaban manusia. Sebelah malam sebelumnya, iaitu tanggal 31 Disember, pada detik 12 tengah malam mereka berkumpul di tempat-tempat tertentu bagi menyaksikan hiburan, bunga api, serta pelbagai aktiviti lagi yang semuanya boleh menjurus kepada kemaksiatan, pembaziran dan masalah sosial.  Di Malaysia, tarikh ini juga diraikan juga oleh sebilangan umat. Pada hari tersebut, lazimnya akan diadakan majlis keraian yang tidak juga kalahnya dari segi kemeriahannya. Malah di media-media akan dipaparkan hiburan, pembakaran bunga api serta berbagai-bagai aktiviti lagi.  Persoalannya di sini, wajarkah sambutan seperti ini diadakan? Apa yang disambut sebenarnya? Tahun baru…!! Bagi umat Islam, ini bukan tarikhnya. Lantas apakah yang diraikan dan disambut begitu beria-ia?  

Istilah Tahun Masehi 

Perkataan Masehi biasanya dirujuk pada tarikh tahun menurut kalendar Gregorian. Kata ini berasal dari Bahasa Arab. Awal tahun Masehi ini dirujuk pada tahun yang dianggap kononnya sebagai tahun kelahiran Nabi Isa a.s. (Al-Masih), maka kalendar ini dinamakan Masihiyah atau Yesus dari Nazareth.  Manakala istilah “Sebelum Masehi” (SM) dirujuk pada masa sebelum tahun tersebut. Sebahagian besar orang-orang yang bukan penganut Kristian biasanya menggunakan singkatan M dan SM. Sistem Penanggalan yang merujuk pada awal tahun Masehi ini mula digunakan di Eropah Barat sejak abad ke-8. Melalui bahasa Inggeris dan dipergunakan secara antarabangsa, istilah Masehi disebut sebagai ‘Anno Domini’ (AD) dan sebelum Masehi disebut sebagai “Before Christ” (BC).

Asal Hitungan Tarikh Masehi  

Sistem penentuan dan perhitungan hari bermula dari ilmu astrologi iaitu ilmu tentang pergerakan benda-benda di langit seperti matahari, bulan dan bintang. Ilmu ini berkembang sejak zaman pemerintahan Babylon kuno, iaitu lebih kurang 2000 SM. Penentuan hari atau bulan melalui kaedah ini, tidak salah. Malah Allah S.W.T telah berfirman melalui ayatNya yang bermaksud: “Dialah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-benderang) dan bulan bercahaya, dan Dialah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-randah pada tempat-tempat peredarannya masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan adanya faedah dan kegunaannya yang sebenar. Allah menjelaskan ayat-ayatNya (tanda-tanda kebesaranNya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui (hikmat sesuatu yang dijadikanNya) (Yunus: 5)  Namun apa yang perlu diteliti adalah penggunaan bulan dan hari yang diguna pakai oleh seluruh dunia sekarang di mana fahaman gereja mempunyai pengaruh yang besar dalam penentuan hari dan bulan, apatah lagi PERAYAAN TAHUN BARU!   

Kalendar Arab Jahiliyah 

Di zaman pra-Islam, kaum Arab menggunakan taqwim yang berasaskan kepada sistem lunar Qamariah. Walau bagaimanapun, mereka banyak mencampur-adukkan perbuatan melewatkan tarikh dan mengawalkannya sehingga kiraan menjadi begitu keliru.  Golongan Arab Jahiliyah pra-Islam telah meminda kalendar yang mereka gunakan itu semata-semata untuk memenuhi kehendak hawa nafsu. Mereka telah menjadikan di dalam satu tahun sebanyak 13 bulan lantas menjadikan bulan Muharram itu sebagai Safar. Mereka berasa keberatan disebabkan oleh musim haji yang adakalanya berlaku pada musim sejuk. Ini menyukarkan agenda perniagaan mereka lantas mereka mengubah bilangan bulan dalam setahun semata-mata dengan tujuan untuk menjatuhkan musim haji pada waktu yang selesa dengan kepentingan diri. Begitu juga, mereka sukar hendak menahan diri daripada melakukan gencatan senjata, mengelakkan pertumpahan darah pada tiga bulan Haram yang berturut-turut iaitu Dzulkaedah, Dzulhijjah dan Muharram, lantas perubahan bilangan bulan dilakukan.  Untuk membetulkan kembali penyelewengan yang dilakukan oleh Arab Jahiliyah, Allah S.W.T telah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah Agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiayai diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya) ; dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa.” (At-Taubah: 36)   

Pemberian Nama Bulan-bulan Masehi 

Sejak zaman Romawi, iaitu sebelum pemerintahan Julius Caesar; mereka membahagikan bulan-bulan dalam 10 bulan sahaja iaitu:1. Martius (March)2. Aprilis (April)3. Maius (May)4. Junius (June)5. Quintilis (July)6. Sextilis (August)7. September8. October9. November10. December Seperti kelazimannya, apabila sesuatu perkara yang mempunyai pengaruh gereja, maka ianya akan mempunyai maksud atau pengertian tertentu yang perlu kita fahami. Begitu juga dengan penentuan bulan-bulan ini di mana pemberian nama ini, ada kaitannya dengan DEWA bangsa Romawi.  Bulan Martius (March) mengambil nama Dewa Mars, manakala nama bulan Aprilis (April) diambil dari perkataan Aperiri, sebutan untuk cuaca yang nyaman di dalam musim panas. Seterusnya bulan Maius (May) mengambil nama Dewa Maia dan bulan Junius (June) mengambil nama Dewa Juno. Sedangkan nama-nama Quintrilis, Sextrilis, September, October, November dan December adalah nama yang diberikan berdasarkan angka urutan susunan bulan. Quintrilis bererti bulan kelima, Sextilis bulan keenam, September bulan ketujuh, October bulan kelapan dan December bulan kesepuluh.  Berdasarkan kenyataan-kenyataan ini, didapati bahawa suatu ketika dahulu permulaan tarikh (awal tahun) jatuh pada bulan Mac (March). Hal ini berkait rapat dengan musim dan pengaruhnya kepada tata kehidupan masyarakat di Eropah. Bulan Mac (tepatnya 21 Mac) adalah permulaan musim panas (equinox musim panas). Awal musim panas disambut dengan perayaan sukacita kerana dipandang sebagai bermulanya kehidupan baru, setelah selama 3 bulan mengalami musim dingin. Jadi, kedatangan musim panas ini dirayakan sebagai PERAYAAN TAHUN BARU setiap tahun. Setelah beberapa ketika, bulan yang hanya terdiri dari 10 bulan itu kemudian ditambah menjadi 12 bulan, tambahan 2 bulan, iaitu bulan Januarius dan Februarius.  Januarius adalah nama yang berasal dari nama Dewa Janus, dewa ini berwajah dua; menghadap ke hadapan dan belakang, hingga kononnya dapat memandang masa lalu dan masa hadapan. Oleh sebab itu, Januarius ditetapkan sebagai bulan pertama. Februarius pula diambil nama sempena dari suatu upacara Februa, iaitu upacara bagi menyambut kedatangan musimm panas. Dengan ini, Februarius menjadi bulan kedua, sebelum musim panas datang pada bulan Mac. Begitu juga bulan-bulan yang terdahulu, letaknya di dalam tarikh baru menjadi tergeser dua bulan, dan susunannya menjadi Januarius, Februarius, Martius, Aprilis, Maius, Junius, Quintrilis, Sextilis, September, October, November dan December.  Jadi kesimpulannya, tarikh tahun Masehi yang dipakai secara antarabangsa sekarang ini ternyata berdasarkan perhitungan astrologi Mesopotamia yang dikembangkan oleh ahli astronomi para penyembah dewa-dewa. Maka nama-nama bulan pun diguna pakai sempena nama dewa serta tokoh pencetus tarikh kalendar Masehi.   

Tradisi Sambutan Tahun Baru Masehi 

Tahun baru Masehi pertama kali dirayakan iaitu pada zaman kaisar Romawi, Julius Caesar (45 SM), untuk menghormati Dewa Janus (dewa yang digambarkan bermuka dua, merupakan dewa pintu dan semua permulaan). Kemudian perayaan ini terus dilestarikan dan menyebar ke Eropah (abad permulaan Masehi). Seiring dengan munculnya dan berkembangnya agama Nasrani, akhirnya perayaan ini diwajibkan oleh para pemimpin gereja sebagai satu perayaan “suci”.   

Cara Sambutan 

Orang Romawi kuno menyambut tahun baru dengan saling memberikan hadiah; iaitu potongan dahan pohon suci untuk merayakan pergantian tahun. Kini, mereka saling memberikan kacang atau ‘syiling’ lapis emas dengan gambar Janus.  Di Brazil, pada tengah malam setiap tanggal 1 Januari, sebahagian masyarakat Brazil berbondong-bondong menuju pantai dengan pakaian putih bersih. Mereka menaburkan bunga di laut, menanam tanaman atau buah-buahan seperti mangga, betik, tembikai dan lain-lainnya di dalam pasir pantai sebagai tanda penghormatan terhadap sang dewa Lemanja, dewa laut yang terkenal dalam legenda negara tersebut.  Manakala menurut kepercayaan beberapa masyarakat Jerman pula, jika mereka memakan sisa hidangan pesta perayaan “New Year’s Eve” pada tanggal 1 Januari, mereka percaya tidak akan kekurangan makanan selama setahun penuh. Jadi kesimpulannya, diperhatikan bahawa beberapa masyarakat di sudut dunia ini merayakan tahun baru atas kepercayaan dan adat kebudayaan masing-masing.  Maka sebagai umat Islam di Malaysia, dimanakah kewajarannya meraikan tahun baru apabila tiba tanggal 1 Januari tersebut. Perayaan ini tidak ada disebut dalam Hadis dan Al-Quran, tiada dalam adat dan kebudayaan dan tiada satu pun sejarah yang dapat dikaitkan dengan kewajaran sambutan tersebut. Jadi mengapakah perlunya kita berhabis-habisan membelanjakan wang ringgit bagi meraikannya?  Lebih bahaya lagi kiranya kita melihat dari sudut aqidah! Orang-orang Barat (Rome) meraikannya kerana menghormati dewa mereka, Janus. Kita sebagai umat Islam apa yang perlu dihormati? Dan perlu ditanya juga, apakah hukum meraikannya dan dimana letaknya aqidah kita?  Tidakkah ini jarum sulit dan dakyah barat (kafir) yang telah berjaya dimenterai ke dalam budaya kita, hinggakan sambutan ini menjadi satu kemestian yang perlu diraikan setiap tahun….!  Wallahu’alam….  Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya: “Barangsiapa yang menyerupai perbuatan suatu kaum, maka ia termasuk didalamnya”. (HR Abu Dawud, Ahmad dan At-Thabrani) .  

*Artikel di atas adalah dipetik dari buku “Rahsia Untuk Umat Islam” oleh Sdr. Nazri Zakaria (Terbitan E Noble Marketing)– Ogos 2007  

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s