Tiga perkara asas pilih makanan halal, suci

Oleh Dr Ahmad Redzuwan Mohd Yunus

PENGGUNA perlu bijak memilih keperluan sesuai dengan apa yang diperintahkan Allah dan Rasul-Nya. Islam menggariskan beberapa panduan yang jelas supaya diikuti oleh pengguna Muslim.
Pertama, Islam menyuruh umatnya mencari dan mengambil makanan yang halal dan baik untuk memenuhi keperluan fisiologi mereka. Suruhan ini ditegaskan dalam firman Allah yang bermaksud: “Wahai sekalian manusia! Makanlah apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik.” (Surah al-Baqarah, ayat 168)

Di Malaysia, status halal sesuatu makanan dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Oleh itu, bagi pengguna Muslim perlu memastikan label halal Jakim terdapat pada barang yang hendak dibelinya.

Pembeli hendaklah mengenal pasti label yang dikeluarkan Jakim supaya tidak terkeliru dengan label halal yang digunakan pihak tidak bertanggungjawab untuk melariskan barang mereka.

Jika pengguna hendak menyemak barang yang dibeli itu dengan lebih pasti, apakah ia terdapat dalam senarai Jakim, pengguna boleh menggunakan telefon bimbit dengan menaip (Halal_no. kod pada barang) dan hantar kepada 32728 atau DAPAT.

Hanya dalam beberapa saat, pengguna akan mendapat maklumat status barang yang hendak dibeli sama ada terdapat dalam senarai barangan halal Jakim atau tidak.

Islam menyuruh kita menjauhi barang yang diharamkan kerana makanan yang dimakan akan menjadi darah daging dalam tubuh badan. Dengan adanya darah daging yang tumbuh daripada makanan haram, ia akan menjadi penyebab doa seseorang itu tidak dimakbulkan Allah.

Di samping halal, umat Islam digesa mencari makanan yang baik untuk tubuh badan bagi menjana kecergasan mental dan fizikal. Tubuh badan yang sihat dan cergas penting bagi melakukan ibadat kepada Allah dalam keadaan selesa.

Hal ini ditegaskan dalam firman Allah yang bermaksud: “(Dikatakan kepada mereka) Makan dan minumlah kamu akan makanan dan minuman yang lazat dan baik.” (Surah at-Tur, ayat 19)

Kedua, Islam melarang umatnya berlebih-lebihan memenuhi keperluan kehidupan. Larangan ini ditegaskan dalam firman Allah yang bermaksud: “Dan makanlah serta minumlah dan jangan pula kamu melampau-lampau, sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampau batas.” (Surah al-A’raf, ayat 31)

Sifat itu juga ditegah Rasulullah SAW seperti sabda Baginda: “Makanlah serta minumlah, dan bersedekahlah, dan juga pakailah (pakaian yang baik-baik serta berhiaslah), asalkan jangan untuk bermegah-megah dan menyombong, dan jangan pula melampau, kerana Allah SWT suka melihat kesan nikmat-Nya ke atas hamba-Nya.” (Hadis riwayat Ibn Majah)

Allah dan Rasulullah SAW melarang daripada berlebih-lebihan kerana akan membawa kepada pembaziran yang merugikan akibat mengikut hawa nafsu dalam berbelanja.

Kita digalakkan berjimat cermat dalam kehidupan kerana kita tidak dapat menduga keperluan untuk masa hadapan keluarga kita. Adalah lebih baik kita berhati-hati dalam memenuhi tuntutan kehidupan.

Ketiga, umat Islam disuruh bersyukur atas nikmat kurniaan Allah dalam kehidupan mereka supaya mereka tidak menjadi kufur. Allah menyuruh hamba-Nya bersyukur kerana Dialah menyediakan rezeki sesuai dengan keperluan manusia seperti firman Allah bermaksud: “Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepada-Nya.” (Surah Saba, ayat 15)

Mereka yang bersyukur kepada Allah, dijanjikan penambahan rezeki dalam kehidupan kerana mereka tahu daripada Allah sajalah segala pemberian itu datang dan menggunakan rezeki itu ke jalan diredai-Nya.

Janji itu disebutkan dalam firman Allah yang bermaksud: “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amatlah berat.” (Surah Ibrahim, ayat 7)

Allah menggesa orang Islam supaya menjadi manusia yang bersyukur kepada-Nya kerana ramai manusia yang diberikan nikmat oleh Allah, lupa untuk mengucapkan syukur kepadanya.

Hal ini dijelaskan dalam firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah SWT sentiasa melimpah-limpahkan kurniaan-Nya kepada manusia (seluruhnya), tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.” (Surah al-Baqarah, ayat 243)

Itulah tiga perkara asas yang perlu dilakukan pengguna Muslim dalam memenuhi tuntutan kehidupan di atas muka bumi iaitu mencari makanan halal dan baik

Rujukan : http://www.yakinhalal.com/info1.htm

Advertisement

Apa Ertinya Saya Menganut Islam

Sudah dua drama saya tontoni berkaitan dengan cerita berkaitan dengan memeluk Islam sempena sambutan maulidurasul. Pertama ialah cerita Kelat-Kelat Madu dan satu lagi saya lupa tajuk dramanya.

Saya sempat menonton beberapa slot cerita dalam drama ini. Cerita yang menggambarkan bagaimana seorang non muslim cuba mendekati dan memahami Islam. Kedua-dua cerita ini muncul dalam nafas sambutan maulidurrasul.

Saya secara terus terang agak terkilan dan banyak perkara yang tak saya setuju dengan drama Malaysia hari ini khususnya cerita-cerita yang dilakonkan oleh orang melayu Islam kita. Namun, dalam sudut dan pandangan lain, drama dan filem Melayu hari ini cuba untuk mengambarkan suasana dan keadaan masyarakat hari ini.

Kebanyakkan tema drama dan filem kita hari ini menjurus kepada percintaan, konflik keluarga, konspirasi syarikat, cerita mistik dan sebagainya. Sekali lagi saya nyatakan saya bukanlah seorang penganalisis drama dan filem yang bertauliah, namun saya berhak memberi komentar terhadap filem semasa.

Apabila tiba musim maulid rasul sahaja cerita yang bertemakan keinsafan, mualaf, cerita ketaatan pada ibubapa barulah muncul dipertontonkan. Filem yang mengikut musim. Cerita yang hendak disampaikan baik, namun cara dan lakonan yang bergaul bebas dalam drama dan filem telah merosakkan drama dan filem itu sendiri.

Tajuk yang saya pilih iaitu “Apa ertinya saya menganut Islam?” adalah merupakan sebuah buku karangan Fathi Yakan. Kedua-dua drama yang saya tontoni ini menggambarkan kedua-dua pelakon dalam drama yang berbeza merujuk kepada buku ini untuk mendalami Islam. Buku ini merupakan buku favourite waktu saya di sekolah menengah dulu.

Saya mengharapkan adanya pengarah filem yang boleh memberi sentuhan yang kemas terhadap buku ini. Cuba filemkan ataupun dramakan mengikut acuan yang terkandung dalam buku ini. Dan satu lagi, semua pelakon mestilah berlakon dengan tidak melanggar syariat Islam.

Satu perkara lagi, saya menunggu apa kata mufti terhadap drama, filem dan konsert melayu hari ini. Jika mufti Perak pernah mengharamkan konsert Jom Heboh kerana pergaulan bebas, adakah filem atau drama kita hari ini juga boleh diharamkan kerana jelas menunjukkan pergaulan bebas? Fikir-fikirkanlah…..

Hidupmu Hari Ini Adalah Peluang

Saya memilih tajuk ini adalah bertujuan untuk memuhasabah diri sendiri sebagai hamba Allah SWT yang telah diberi peluang untuk menjalani kehidupan di atas muka bumi ini.

Bagaimana manusia melihat dan memberi pandangan terhadap kehidupan mereka? Bagaimana pula dengan anda? Adakah hidup kita di bumi ini sekadar kebetulan? Daripada tiada kita menduduki rahim ibu. Selepas fasa 90 hari kita dilahirkan ke bumi ini dalam keadaan yang cukup lemah. Membesar diperingkat kanak-kanak, remaja, dewasa dan sampai ke peringkat tua. Selepas itu kita mati dan tiada lagi di bumi.

Jika perhatikan billion umat manusia hari ini, kita boleh mengenalpasti secara ringkas pandangan dan juga hala tuju kehidupan mereka. Bagi pandangan saya terdapat beberapa pandangan manusia terhadap kehidupan ini :

Pertama : Golongan manusia yang menanggap kehidupan ini adalah kebetulan sahaja. Matlamat kehidupan ialah untuk mengumpul sebanyak mungkin harta kekayaan. Selepas mati tiada sebarang kehidupan lain lagi.

Kedua : Golongan manusia yang diberikan pertunjuk oleh RabbulAlamin. Mereka menerima kehidupan di bumi ini adalah sebagai tempat ujian dan dugaan. Matlamat hidup mereka ialah mencapai KeredhaanNya. Selepas mati mereka akan diperhitungkan. Samaada menerima balasan baik ataupun buruk bergantung kepada amalan mereka di atas bumi.

Alhamdulillah kita masih hidup lagi hari ini. Dapat lagi menghidup udara segar. Dapat lagi melihat kecantikan dan keindahan dunia. Dapat lagi menikmati makan dan minum. Dapat lagi menjalankan ibadah seharian. Namun suatu masa nanti, semua ini akan terhenti dan kita akan berdepan dengan suasana gawat iaitu sakaratul maut.

Bila ajal sudah sampai dikerongkongan, peluang untuk beriman dan beribadah sudah tertutup. Jangan kita tergolong di kalangan mereka yang lalai dan tidak mengambil peluang kehidupan di bumi ini untuk mempersiapkan secukupnya bekalan di hari akhir kelak. Lihatlah saudaraku hidup anda setiap hari adalah peluang!!!!!

KISAH KESUNGGUHAN DAN KEPRIHATINAN RASULULLAH SAW DENGAN SOLAT BERJEMAAH

Rasulullah SAW bukanlah seorang yang hanya pandai menyeru dan menggalakkan umatnya supaya melaksanakan solat berjemaah sedangkan dia tidak mengambil berat tentangnya. Bahkan Banginda SAW merupakan orang yang paling mengambil berat dengan solat berjemaah walaupun di saat paling kritikal. Bagi membuktikan semua ini kami akan menyebutkan buat pembaca budiman dua keadaan dan suasana yang mencabar yang telah dihadapi Rasulullah SAW di dalam melaksanakan solat berjemaah iaitu:

PERTAMA
Rasulullah SAW telah mendirikan solat berjemaah ketika peperangan memuncak

Kisah ini sesungguhnya telah diriwayatkan oleh Imam Muslim yang berbunyi :

Maksudnya :
Daripada Jabir RA, katanya: “Satu hari kami bersama Rasulullah SAW telah berperang dengan satu kaum dari puak Juhainah. Lalu mereka memberikan penentangan yang sungguh hebat terhadap kami sehingga berlakulah suatu perperangan yang sangat dahsyat. Setelah kami selesai solat Zohor berjemaah, berkatalah orang Musyrikin: “Jika kita melancarkan serangan ke atas orang-orang Islam secara serentak dan sekaligus, nescaya kita akan dapat menghancurkan dan mengalahkan mereka.”

Lalu Jibrail telah memberitahu Banginda SAW mengenai perancangan mereka itu. Lantas Rasulullah SAW pun segera memberitahu kami mengenai perkhabaran yang telah disampaikan oleh Jibrail kepada Baginda SAW.

Rasulullah SAW kemudiannya bersabda: “(Orang-orang Musyrikin telah bercakap-cakap mengenai kita). Kata mereka : “Sesungguhnya akan tiba suatu waktu solat yang dikasihi oleh Muhammad dan pengikutnya daripada anak-anak mereka sendiri.”

Apabila tiba waktu Asar, Rasulullah SAW lalu bersabda : “Buatkan dua saf solat, kerana orang-orang Musyrikun berada di arah kiblat”. Berkata Jabir RA :”Rasulullah SAW pun bertakbir dan kami pun ikut bertakbir bersama-samanya. Apabila Rasulullah SAW ruku’, kami pun ruku’. Bila Banginda sujud, maka ikut sujud bersama-samanya para sahabat yang berada dalam saf pertama.

Apabila selesai saf pertama melakukan sujud dan mereka bangun, maka sujud pula saf yang kedua. Kemudian saf yang pertama undur kebelakang sementara saf kedua maju ke depan dan mengambil kedudukan saf yang pertama tadi.

“Kemudian Rasulullah SAW pun bertakbir dan kami pun ikut sama bertakbir. Apabila Rasulullah SAW ruku’, kami pun ruku’. Bila Baginda SAW sujud, maka ikut sujud bersama-samanya para sahabat yang berada dalam saf pertama, sedangkan saf kedua berdiri. Setelah saf kedua selesai sujud, mereka semua pun duduk untuk melakukan tasyahhud akhir sehinggalah Rasulullah SAW selesai memberi salam.”

KEDUA
Ketabahan Nabi keluar untuk solat berjemaah ketika sakit tenat.

Mengenai kisah ketabahan ini, Imam Bukhari telah meriwayatkan suatu hadis yang bermaksud:

Daripada Ubaidillah bin Abdullah bin Utbah RA, katanya: “Suatu hari aku dating menemui ‘Aisyah, lalu aku katakana kepadanya: “Bolehkah engkau ceritakan kepadaku mengenai kesakitan yang dideritai oleh Rasulullah SAW?”

Jawab ‘Aisyah: Bahkan! Lalu ‘Aisyah pun memulakan ceritanya dengan katanya: “Ketika Rasulullah sedang sakit tenat, Baginda telah bertanya kepadaku: “Adakah para sahabat (yang berada di masjid) dah selesai menunaikan solat (isyak)?”. Kami lantas menjawab: “Belum, mereka semua sedang menunggu kedatangan Tuan.”

Sabda Rasulullah: “Ambilkan untukku sebekas air.” Kata ‘Aisyah: “ Kami pun memperkenankan permintaannya.” Lalu Baginda SAW terus mandi. Setelah selesai berpakaian, Baginda pun mula bangun untuk berjalan ke masjid. Tiba-tiba Baginda jatuh pengsan.”

“Tidak lama kemudian Banginda SAW sedar dari pengsannya. Baginda lantas bersabda: “Adakah para sahabat (yang berada di masjid) dah selesai menunaikan solat (Isyak)?” Kami lantas menjawab: “Belum, mereka semua masih menunggu kedatangan Tuan.”

Sabda Rasulullah SAW: Ambilkan lagi untukku sebekas air. “ Lalu banginda SAW (bangun dari tidurnya) dan duduk. Kemudian Baginda SAW terus mandi. (Setelah selesai berpakaian), Baginda pun mula bangun dan berjalan (ke masjid) tiba-tiba Baginda jatuh pengsan lagi.”

Tidak lama kemudian Baginda SAW sedar dari pengsannya. Baginda lantas bersabda: “Adakah para sahabat (yang berada di masjid) dah selesai menunaikan solat (Isyak)?” Kami lantas menjawab: “Belum, mereka semua masih menunggu kedatangan Tuan.”

Sabda Rasulullah SAW: Ambilkan lagi untukku sebekas air. “ Lalu banginda SAW (bangun dari tidurnya) dan duduk. Kemudian Baginda SAW terus mandi. (Setelah selesai berpakaian), Baginda pun mula bangun dan berjalan (ke masjid) tiba-tiba Baginda jatuh pengsan lagi (untuk kali ketiga).”

Tidak lama kemudian Baginda SAW sedar dari pengsannya. Baginda lantas bersabda: “Adakah para sahabat (yang berada di masjid) dah selesai menunaikan solat (Isyak)?” Kami lantas menjawab: “Belum, mereka semua masih menunggu kedatangan Tuan.”

“Para sahabat maih berhimpun di masjid kerana menanti kedatangan Rasulullah SAW untuk solat Isyak berjemaah. Jesteru itu, Baginda SAW pun menghantar seorang utusan bagi menemui Abu Bakar RA dengan tujuan supaya Abu Bakar menggantikan tempatnya sebagai Imam solat Isyak. Bila utusan itu menemui Abu Bakar, dia terus berkata “Sesungguhnya Rasulullah SAW telah memerintahkan kamu supaya menggantikan tempatnya sebagai Imam (solat Isyak).”

Saidina Abu Bakar RA seorang lelaki yang sangat sensitive perasaanya (kerana itu dia seorang yang mudah menangis. Lantaran itu) Abu Bakar RA telah berkata kepada Umar RA: “Wahai Umar! Engkaulah saja yang mengimami solat Isya (pada malam ini)”.
Jawab Umar: “Engkaulah yang lebih layak untuk mengimaminya. “(Mendengar jawapan tegas Umar itu, Abu Bakar pun mengimami solat Isyak pada malam itu dan solat-solat lain pada hari berikutnya.”

Muhammad Fatih bin Muhammad Amin bin Hj Che Hassan bin Hj Abdul Rahman bin Awang Hamat bin Sulaiman

img_1343.jpg

Tanggal 23 Safar 1429 bersamaan 29 Februari 2008 jam 8.45 malam, lahirlah seorang Putra Sulung kepada Muhammad Amin dan Rafidah yang diberi nama Muhammad Fatih. Muhammad Fatih dilahirkan di DEMC (Darul Ehsan Medical Centre) di Shah Alam. Muhammad Fatih diambil dengan mengambil ruh dan semangat pejuang Islam SUltan Muhammad al-Fatih yang telah berjaya membuka kota Konstinanpel. al-Fatih juga merupakan salah satu daripada gelaran Nabi Muhammad SAW.

Semoga kelahiran Muhammad FAtih menjadi menyeri dan penguat semangat perjuangan kami berdua. Dijemput semua untuk hadir ke rumah kami jika ingin bertemu mata dengan Muhammad Fatih. Doakan kami sekeluarga agar sentiasa istiqomah dalam perjuangan menegakkan Islam tercinta.