Tiga perkara asas pilih makanan halal, suci

Oleh Dr Ahmad Redzuwan Mohd Yunus

PENGGUNA perlu bijak memilih keperluan sesuai dengan apa yang diperintahkan Allah dan Rasul-Nya. Islam menggariskan beberapa panduan yang jelas supaya diikuti oleh pengguna Muslim.
Pertama, Islam menyuruh umatnya mencari dan mengambil makanan yang halal dan baik untuk memenuhi keperluan fisiologi mereka. Suruhan ini ditegaskan dalam firman Allah yang bermaksud: “Wahai sekalian manusia! Makanlah apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik.” (Surah al-Baqarah, ayat 168)

Di Malaysia, status halal sesuatu makanan dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Oleh itu, bagi pengguna Muslim perlu memastikan label halal Jakim terdapat pada barang yang hendak dibelinya.

Pembeli hendaklah mengenal pasti label yang dikeluarkan Jakim supaya tidak terkeliru dengan label halal yang digunakan pihak tidak bertanggungjawab untuk melariskan barang mereka.

Jika pengguna hendak menyemak barang yang dibeli itu dengan lebih pasti, apakah ia terdapat dalam senarai Jakim, pengguna boleh menggunakan telefon bimbit dengan menaip (Halal_no. kod pada barang) dan hantar kepada 32728 atau DAPAT.

Hanya dalam beberapa saat, pengguna akan mendapat maklumat status barang yang hendak dibeli sama ada terdapat dalam senarai barangan halal Jakim atau tidak.

Islam menyuruh kita menjauhi barang yang diharamkan kerana makanan yang dimakan akan menjadi darah daging dalam tubuh badan. Dengan adanya darah daging yang tumbuh daripada makanan haram, ia akan menjadi penyebab doa seseorang itu tidak dimakbulkan Allah.

Di samping halal, umat Islam digesa mencari makanan yang baik untuk tubuh badan bagi menjana kecergasan mental dan fizikal. Tubuh badan yang sihat dan cergas penting bagi melakukan ibadat kepada Allah dalam keadaan selesa.

Hal ini ditegaskan dalam firman Allah yang bermaksud: “(Dikatakan kepada mereka) Makan dan minumlah kamu akan makanan dan minuman yang lazat dan baik.” (Surah at-Tur, ayat 19)

Kedua, Islam melarang umatnya berlebih-lebihan memenuhi keperluan kehidupan. Larangan ini ditegaskan dalam firman Allah yang bermaksud: “Dan makanlah serta minumlah dan jangan pula kamu melampau-lampau, sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampau batas.” (Surah al-A’raf, ayat 31)

Sifat itu juga ditegah Rasulullah SAW seperti sabda Baginda: “Makanlah serta minumlah, dan bersedekahlah, dan juga pakailah (pakaian yang baik-baik serta berhiaslah), asalkan jangan untuk bermegah-megah dan menyombong, dan jangan pula melampau, kerana Allah SWT suka melihat kesan nikmat-Nya ke atas hamba-Nya.” (Hadis riwayat Ibn Majah)

Allah dan Rasulullah SAW melarang daripada berlebih-lebihan kerana akan membawa kepada pembaziran yang merugikan akibat mengikut hawa nafsu dalam berbelanja.

Kita digalakkan berjimat cermat dalam kehidupan kerana kita tidak dapat menduga keperluan untuk masa hadapan keluarga kita. Adalah lebih baik kita berhati-hati dalam memenuhi tuntutan kehidupan.

Ketiga, umat Islam disuruh bersyukur atas nikmat kurniaan Allah dalam kehidupan mereka supaya mereka tidak menjadi kufur. Allah menyuruh hamba-Nya bersyukur kerana Dialah menyediakan rezeki sesuai dengan keperluan manusia seperti firman Allah bermaksud: “Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepada-Nya.” (Surah Saba, ayat 15)

Mereka yang bersyukur kepada Allah, dijanjikan penambahan rezeki dalam kehidupan kerana mereka tahu daripada Allah sajalah segala pemberian itu datang dan menggunakan rezeki itu ke jalan diredai-Nya.

Janji itu disebutkan dalam firman Allah yang bermaksud: “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amatlah berat.” (Surah Ibrahim, ayat 7)

Allah menggesa orang Islam supaya menjadi manusia yang bersyukur kepada-Nya kerana ramai manusia yang diberikan nikmat oleh Allah, lupa untuk mengucapkan syukur kepadanya.

Hal ini dijelaskan dalam firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah SWT sentiasa melimpah-limpahkan kurniaan-Nya kepada manusia (seluruhnya), tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.” (Surah al-Baqarah, ayat 243)

Itulah tiga perkara asas yang perlu dilakukan pengguna Muslim dalam memenuhi tuntutan kehidupan di atas muka bumi iaitu mencari makanan halal dan baik

Rujukan : http://www.yakinhalal.com/info1.htm

One thought on “Tiga perkara asas pilih makanan halal, suci

  1. Assalamu’alaikum ustaz.
    Terimakasih atas tulisan ust. Ana minta keizinan ustaz untuk menulis tulisan ustaz dalam risalah di surau tempat ana tinggal. Jzkk

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s