
Sejak akhir-akhir ini suasana politik di Malaysia semakin panas dan kompleks. Semua pemimpin politik BN dan Pakatan Rakyat memainkan peranan masing-masing untuk menjuarai isu-isu politik. Tanpa disedari hak-hak rakyat dan keperluan rakyat tenggelam.
Saya menggesa semua pemuda-pemuda Islam yang berada di dalam PAS, UMNO, Keadilan ataupun tidak berparti supaya memuhasabah diri masing-masing. Apakah suasana politik di Malaysia ini akan memberi nafas baru buat Islam?
Sepatunya semua pemuda Islam hari ini terus mencebur diri dalam arena politik tanahair. Kita mesti berada di posisi yang benar. Tinggalkanlah posisi yang salah. Buka minda dan kajilah dengan teliti setiap parti politik yang ada di tanah air ini.
Sumbangan pemuda-pemuda hari ini kepada arena politik tanahair amat diperlukan. Idea-idea yang memberangsangkan sepatunya disalurkan kepada pemimpin hari ini dalam memastikan kesinambungan politik Melayu Islam.
Jika pemuda hari ini tidak ambil kesah politik tanahair sekarang, mereka akan menerima natijahnya masa akan datang. Natijahnya mungkin bukan sekarang, tetapi natijahnya akan terasa kepada generasi akan datang.
Hari ini politik dianggap peluang dan bisnes. Politik adalah lubuk mencari kekayaan. Orang business tidak akan maju atau berjaya jika tidak rapat dengan orang politik. Orang politik tolong orang business. Orang business tolong orang politik.
Stail politik sebegini nampaknya sudah berakar umbi dalam politik Malaysia. Acuan sebegini tidak lagi relevan dalam membangunkan akhlak dan modal insan. Acuan sebegini hanya mampu mengkayakan golongan tertentu, sebaliknya golongan miskin tetap miskin dan merana.
Politik hanya dapat dipandu dengan acuan Islam. Islam merupakan ajaran yang sempurna mencakupi segenap aspek. Islam menekankan aspek keadilan, kebebasan, persamaan dan ketaatan. Keadilan untuk semua dari pembesar kepada rakyat marhain.
Politik boleh dianggap seperti binatang buas. Apabila bercakap hal-hal politik kita tidak lepas daripada berbicara soal jawatan, pangkat, kedudukan, kemahsyuran dan kebesaran. Siapa yang cekap berpolitik dialah yang akan duduk di tampuk teratas. Bebas melakukan apa sahaja kerana dia mempunyai kuasa. Perkara ini merupakan kegemaran manusia secara keseluruhannya. Bolelah dikatakan seperti binatang buas, bila mereka hendakkan kuasa apa saja boleh dilakukan untuk tujuan tersebut.
Islam merupakan CARA HIDUP yang mengengkang ‘binatang buas’ ini dengan meletakkan panduan yang lengkap. Orang islam wajib menjadikan politik untuk mempertahankan Islam dan memartabatkan Islam di persada dunia, bukan sebaliknya. Dalam Islam, politik tidak digunakan untuk mempertahankan bangsa, ketidaksamaan dan kezaliman. Islam memandu politik ke arah taat dan patuh kepada Allah SWT.
Kenapa saya mempersoalakan orang Muda? Sedarlah bahawa orang Muda hari ini akan menjadi orang Tua masa akan datang. Orang Muda hari inilah yang akan menerajui kepimpinan di Negara kita ini. Orang muda hari ini sewajibnya jelas dengan peranan mereka. Orang muda mesti berjiwa besar dalam mendalami Islam sebagai penyelesaian.
Politik yang tidak dipandu dengan Islam akhirnya menuju kehancuran. Kehancuran yang datang daripada segenap arah disebabkan kelemahan dan kerakusan manusia yang menjalankan politik. Politik yang tidak dipandu dengan Islam juga akan menuju titik noktah akhir dan akan memasuki fasa kemusnahan.
Di sinilah letaknya para pemuda Islam yang beriman membuka seluas-luasnya pintu kajian dan penilaian terhadap politik di Negara kita hari ini. Profesional, kerja kerajaan, ustaz-ustazah, guru-guru, para akademik, usahawan, peguam, doktor, jurutera dan aktivis dakwah mesti berganding bahu bersama dalam menjayakan mis i menjadikan Negara Malaysia Negara Yang Beriman.
Namun sekadar teori mudah untuk ditulis dan dicarik dimana-mana, tetapi perlaksanaannya cukup berat. Ini kerana manusia mempunyai pelbagai pandangan dan fikiran. Allah SWT memberikan manusia pelbagai ilmu pengetahuan yang mana mereka mampu berfikir dengan idea masing-masing. Tidak dapat tidak idea ini mesti dipandu dengan ISLAM yang sumber dan panduannya adalah AL-Quran dan al-Haditsh Rasulullah SAW.
Pendekatan pertama yang paling baik oleh pemuda hari ini ialah mestilah dengan agresif mengkaji al-Quran dan al-Hadish. Jangan sempitkan fikiran kita bahawa ustaz dan ustazah sahaja yang patut mengkajinya. Fikiran jumud ini telah berjaya menjadikan orang Islam sendiri menghalang perlaksanaan Islam yang syumul di Malaysia.
Pendekatan kedua yang lain ialah jadikan dakwah fardiyyah (dakwah kepada individu) sebagai ruang dan peluang dalam memahamkan Islam kepada generasi muda hari ini. Elakkan mereka lalai dengan hiburan yang melampau dengan menyibukkan mereka dengan aktiviti dakwah dan politik. Tanamkan rasa ukhuwwah dan kemanisan persaudaraan dalam diri mereka.
Pendekatan ketiga ialah wujudkan idola di kalangan pemuda. Muslim Idol yang mempunyai kemahiran dan akhlak yang baik. Tonjolkan mereka dalam masyarakat untuk melawan idol-idol hiburan yang tidak syarie. Sediakan alternative kepada idol-idol yang tidak sejajar dan selari dengan kehendak Islam. Ini kerana hari ini pemuda telah hilang idol yang sebenar.
Akhirnya, saya sebagai salah seorang pemuda Islam di Negara ini menyeru semua pemuda-pemuda Islam dari semua latar belakang ajar menekuni kembali politik Islam. Tetapi usaha dan cita-cita ini tidak akan sampai jika pemuda tidak mehamai dan menghadam politik Islam dalam mendepani cabaran hari ini.