Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak 1430H

kadramadan

Salam Perjuangan,

Sedar tak sedar Ramadhan 1430H bakal kita temui lagi tahun ini. InsyaAllah.

Suatu nikmat yang dianugerahkan Allah SWT sebagai peluang kepada kita semua untuk bertaubat dan memperbaiki mutu iman & takwa.

Sudah banyak peluang yang Allah SWT berikan kepada kita, sebanyak itu juga kita terleka.

Peluang ini juga saya memohon kemaafan daripada anda semua yang mengenali dan juga penjenguk blog amin1982.wordpress.com yang bakal cukup umur 3 tahun pada 9/9 akan datang.

Semoga blog ini terus bernafas untuk memberi kebaikan kepada semua.

Juga tidak lupa kepada para pejuang Gerakan Islam di Permatang Pasir (N11) mudah-mudahan Allah berikan kemenangan dunia & akhirat.

Juga kita mengharapkan agar dengan kehadiran ramadan tahun ini akan melenyapkan jua H1n1 di dunia ini dengan keberkatan doa dan ketaqwaan kita semua.

Akhirnya, saya hadiahkan anda satu puisi yang saya karang tahun lepas sebagai buah tangan untuk Ramadhan yang bakal akan tiba.

RAMADHAN & LAILATUL QADR
MATAHARI 30 SYABAN 1429

RAMADHAN
KAU HADIR LAGI TAHUN INI
HADIRMU PENUH PENGHARAPAN
SEGUNUNG HARAPAN BUAT PECINTA TUHAN
HADIRMU MEMBERI NAFAS BARU BUAT PEJUANGRAMADHAN
SILIH BERGANTIN SETIAP TAHUN
HADIRMU SEPI BUAT YANG BERJIWA MATERIALISMA
HADIRMU TIADA MAKNA BUAT YANG ALPA
HADIRMU TIADA ERTI PADA YANG LEKA
HADIRMU TIDAK TERASA OLEH MEREKA

RAMADHAN
AKU TERUS MEMASANG HARAPAN
AGAR RAMADHAN TAHUN INI
TERCATAT SATU PERUBAHAN
DALAM HIDUPKU YANG PENUH NODA DAN TITIK HITAM
KEMBALI KEPADA FITRAH
ITULAH YANG AKU HARAPKAN

RAMADHAN
TAWARANmu SUNGGUH BESAR
LAILATUL QADR MENJADI HARAPAN
SEMUA INSAN YANG BERIMAN
SEPANJANG RAMADHAN
HADAPILAH UJIAN DAN CABARAN
SEMOGA LAILATUL QADR MENJADI GANJARAN

RAMADHAN
MOGA RAMADHAN TAHUN INI CUKUP BEERTI
MENJADI TITIK MULA PERUBAHAN
PERUBAHAN KEPADA MUKMIN SEJATI
YANG MAMPU BERJIHAD MENEGAKKAN KEBENARAN
DI DALAM DIRIKU SENDIRI
KELUARGA, MASYARAKAT, NEGARA INI
YA ALLAH JADIKANLAH RAMADHAN
KALI INI RAMADHAN BEERTI BUATKU

MUHAMMAD AMIN BIN HJ CHE HASSAN AL-KALANTANI

8 RAMADHAN 1429
5.02 PM DI TRISYSTEM

Amin Al-Kalantani
https://amin1982.wordpress.com

Shah Alam

Advertisements

Puisi Buat Mujahid di Palestin

Puisi Buat Mujahid di Palestin

Mujahid Palestin

Engkaulah pejuang yang tabah

Engkaulah pejuang yang tiada goyah

Engkaulah pejuang yang sentiasa istiqomah

Mujahid Palestin

Darahmu menjadi galang ganti

Perjuangan mempertahankan al-aqsa yang penuh erti

Engkau menjadi wakil seluruh dunia ini

Engkau adalah pejuang yang cukup berani

Maut adalah syahid yang dicari

Mujahid Palestin

Walaupun Israel bertungkus lumus setiap hari

Penuh rakus mencabul setiap bumi Palestin suci

Engkau tetap berada di soff-soff perjuangan ini

Mempertahankan bumi para Nabi

Dari kekotoran nafsu serakah zionis yang membenci

Walau nyawa menjadi ganti

Mujahid Palestin

Engkau telah menolak janji-janji

Janji palsu dari zionis dan segala penjanji

Marilah kita berdamai dan bersatu hati

Palestin kita bahagi-bahagi

Muslim ambil yang ini

Israel ambil yang ini

Cukup senang bagi mereka membahagi

Mujahid Palestin

Telah ramai yang gugur dalam jihad suci

Telah banyak darah tersimbah ke bumi

Telah banyak yang terkorban hingga kini

Telah banyak tangisan air mata yang jatuh ke bumi

Telah banyak jiwa yang pergi

Telah banyak doa dipanjat kepad Ilahi

Ya Allah selamatkanlah palestin!!!

Ya Allah selamatkanlah al-aqsa!!

Ya Allah selamatkanlah muslim ya Allah!!!

Ya Allah bantulah mujahid Palestin!!

17 ogos 2009

Muhammad Amin bin Hj Che Hassan al-Kalantani

https://amin1982.wordpress.com

Rumah Tangga Impian Yang Tidak Dimasuki Syaitan

Salam Perjuangan,

Coretan saya kali ini berkisar tentang rumahtangga yang diidamkan oleh semua anggota gerakan Islam. Rumahtangga yang dibina atas dasar aqidah Islamiyyah.

Saya merujuk kepada buku karangan Drs Kasmuri Selamat yang bertajuk Panduan Perkahwinan, Kunci Syurga yang terbuang.

Ada 4 ciri yang dinyatakan oleh beliau dalam buku tersebut iaitu :

1-Rumah isteri yang sholehah

2-Rumah orang yang mensucikan diri dan sentiasa ingat kepada Allah SWT

3-Rumah orang yang sujud dan rukuk kepada Allah SWT

4-Rumah orang yang menunaikan hak dan kewajipan

Isteri solehah merupakan pendamping dan sahabat yang paling baik bagi si suami. Dialah penenang, pendamai, penyejuk, penolong, pengkobar semangat buat si suami yang berada di medan jihad.

Jika ada kebahagiaan dalam rumah tangga, maka syaitan dapat dicegah untuk masuk ke dalamnya. Sebab ianya merupakan rumah yang didirikan dengan berasaskan iman dan Islam.

Rasulullah SAW bersabda yang ertinya :

“Empat hal yang termasuk kebahagiaan : Isteri yang sholehah, tempat tinggal yang lapang, tetangga yang baik, kenderaan yang nyaman. Empat hal yang termasuk kesengsaraan: Isteri yang buruk perangainya, tetangga yang buruk, tempat tinggal yang sempit dan kenderaan yang buruk”.

(HR Ibnu Hibban)

Sebaik-baik rumah adalah yang ada di didalamnya isteri yang sholehah. Ia mampu membangun keluarga muslim dan mendirikan peradaban umat, serta sebagai ibu yang siap mendidik, membimbing, membiasakan kebaikan, membangunkan anak-anaknya untuk mengerjakan sholat dan membantu suami untuk taat kepada TuhanNYa.

Rumah yang didalamnya berterusan didirikan solat fardhu dan sunat adalah rumah yang bercahaya yang dimasuki oleh malaikat. Sementara syaitan akan bertempiaran melarikan diri daripada rumah-rumah yang sentiasa disebut nama Tuhan.

Penghuninya sentiasa bertaubat, membersihkan diri daripada maksiat dan sentiasa berhubung rapat dengan Allah SWT. Inilah rumah yang sentiasa bercahaya dengan cahaya iman dan taqwa.

Seluruh unit ahli dalam rumahtangga khususnya suami & isteri masing-masing memainkan peranan dalam memastikan semua ahli menunaikan perintah Allah SWT dan Rasulullah SAW. Mereka sewajibnya ingat mengingati antara satu sama lain agar tidak melanggar larangan Allah dan meninggalkan segala perintah Allah SWT.

Alangkah indahnya rumah yang sentiasa bercahaya. Syaitan tidak mampu memporak-perandakan seisi rumah tersebut. Hanyalah Allah tempat mereka memohon pertolongan.

Islam Memimpin Perubahan

Bangunlah dan Berikanlah Peringatan

Amin Al-Kalantani

Shah Alam