Perutusan Sempena Idulfitri

 

Selamat Hari Raya Idulfitri buat Semua

Tulisan : Muhammad Amin bin Hj Che Hassan bin Hj Abdul Rahman al-Kalantani 

Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh

 Saudara saudari semua,Alhamdulillah marilah sama-sama kita memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWt di atas limpahan nikmat yang tidak terkira kepada kita. Kesyukuran yang kita panjatkan menunjukkan kita merendah diri di hadapan Allah SWT Rabbul Jalil. Kita sebagai hamba sewajibnya tidak lepas mengucap kesyukuran setiap hari kerana pelbagai nikmat dan anugerah yang Allah SWT telah berikan kepada kita semua ummat manusia khususnya ummat Islam. 

Saudara saudari semua,

Sempena dengan bulan Ramadhan al-Mubarak dan juga syawal yang bakal menjelma tidak lama lagi membawa beberapa pengertian yang penuh bermakna kepada kita khususnya yang berjaya mencapai martabat ‘muttaqin’. Allah SWT telah mentarbiah hambaNya di bulan ramadhan untuk menghasilkan golongan ‘muttaqin’.

 Saudara saudari semua,Ramadhan al-Mubarak 1428H bakal berlalu dan dengan izinNya kita bakal mengecapi nikmat Ramadhan al-Mubarak 1429H. InsyaAllah. Ramadhan al-Mubarak bolehlah dianalogikan kehidupan di dunia, dan satu syawal merupakan analogi akhirat. Kenapa saya cakap begitu. Mudah cerita, dalam bulan Ramadhan kita bersungguh-sungguh berpuasa. Tak makan, tak minum di siang hari bulan Ramadhan. Jaga anggota dari buat maksiat kepada Allah SWT. Bangun sahur pagi-pagi walaupun mengantuk sangat. Suasana latihan  ini menggambarkan kepada kita ujian Allah SWT kepada ummat Islam setakat mana patuhnya kita kepada perintah dan laranganNya. Begitulah kehidupan dunia.  

Ummat Islam kena berlapar (menahan) daripada buat maksiat kepada Allah SWT kerana ini semua tegahan Allah SWT. Walhasil semua ini, menyebabkan kegembiraan yang hakiki bila menyambut satu syawal. Yang berpuasa betul-betul kerana Allah SWT akan bergembira dengan gembira yang hakiki kerana dilepaskan daripada azab api neraka dan kembali kepada fitrah (idulfitri). Itulah sedikit sebanyak gambaran di akhirat kelak. Orang-orang beriman akan bergembira dengan sebenar-benar gembira hasil ketaatan dan ubudiyyahnya kepada al-Khalik. 

Saudara saudari,Tidak dinafikan juga ada yang begitu gembira menyambut satu syawal walaupun ada yang tak berpuasa di bulan Ramadhan. Solat fardhu tak dilaksanakan. Anggota badan penuh dengan maksiat kepada Allah SWT. Mereka juga gembira menyambut Idulfitri dengan membeli pakaian baru, kasut baru, langsir baru, buat lemang, buat ketupat, beli macam-macam biskut. Gembira mereka sekadar kegembiraan dunia semata-mata, tidak lebih dari itu. Bukan gembira kerana mengikut perintah Allah SWT ataupun Rasulullah SAW. Ini terbukti dengan cara mereka menyambut Ramadhan. Ada yang keluar rumah tidak tutup aurat. Ada yang menyanyi gembira bercampur laki perempuan tanpa batasan. Ada yang berjabat tangan tanpa mengira bukan muhrim. Ada yang bergembira tanpa batasan antara laki dan perempuan tak kira bukan muhrim pun. 

 Saudara saudari budiman,Tak salah kita beli pakaian baru, kasut baru, kueh mueh, langsir baru, sofa baru dan semua baru dengan syarat mengikut kehendak Allah SWT dan Rasulullah SAW. Apa yang lebih penting daripada semua ini ialah iman yang ‘baru’. Baru maksud di sini ialah iman yang berjaya dimantapkan sehingga naik daripada martabat ‘lama’ kepada martabat ‘baru’ yang digelar takwa. Kerana di dalam al-Quran Allah SWT ada berfirman yang bermaksud “  (Musim) haji beberapa bulan yang tertentu. Sesiapa yang telah berniat ihram haji, haram bersetubuh, melakukan maksiat dan tidak boleh bertengkar semasa mengerjakan haji. Apa jua kebaikan yang kamu lakukan nescaya diketahui Allah. Sediakanlah bekalan, sesungguhnya sebaik-baik bekalan ialah taqwa. Bertaqwalah kepada Aku (Allah) wahai orang yang berakal” (al-Baqarah : ayat 197) 

Saudara saudari budiman,Sempena dengan Syawal yang bakal menjelang, di sini tergerak di hati saya untuk menulis adab-adab kita menyambut Syawal. Di saat menyambut syawal inilah kita boleh mencontohi dan mengikuti cara sambutan orang muttaqin. Antara adab-adabnya ialah [1]: 

  1. Allah haramkan berpuasa pada 1 Syawal.
  2. Jangan campurkan dengan perbuatan-perbuatan yang haram. Jangan menganggap Aidilfitri sama dengan perayaanperayaan lain.
  3. Orang yang menang itu adalah orang yang mengawal dan mengalahkan hawa nafsunya.
  4. Kita disuruh menyebut nama Allah dengan bertakbir di mana-mana bagi mengagungkan Allah dan melahirkan rasa kesyukuran.
  5. Takbir, solat jemaah, berdoa dan berbuat kebaikan pada malam raya.
  6. Menunaikan solat sunat Aidilfitri pada pagi raya.

 Menurut beliau, Imam Syafie berkata doa itu mustajab pada 5 malam iaitu:- 

  1. Malam Jumaat
  2.  Malam Hari Raya Aidilfitri
  3. Malam Hari Raya Haji
  4. Malam Awal Bulan Rejab
  5. Malam Nisfu Syaaban

 Antara amalan-amalan yang sunat dilakukan di pagi raya ialah:  

  1. Mandi sunat pagi raya
  2.  Mengenakan dan memakai pakaian yang terbaru
  3. Memakai harum-haruman
  4. Berhias diri
  5. Makan dan minum sebelum ke masjid
  6. Pergi ke masjid melalui jalan lain dan pulang melalui jalan lain
  7. Ucap tahniah
  8.  Ziarah-menziarahi kubur, saudara-mara dan rakan-rakan.

  Saudara saudari budiman semua,Mudah-mudahan dengan peringatan yang ringkas ini boleh mengingatkan diri saya dan semua bagaimana kita beradab untuk menyambut syawal.  Jangan kita termasuk dalam golongan yang bergembira, berseronok walhalnya tanpa disedari kita termasuk orang yang membuat dosa. Wanauzubillahiminzalik. 

Saudara saudari  semua,Di kesempatan ini saya ingin memohon ampun dan maaf atas segala kesilapan dan kekasaran bahasa yang mengguris mana-mana pihak.  Sama-samalah kita bermaaf-maafan dengan seikhlas hati. Selamat Menyambut Hari Raya Idulfitri daripada saya Muhammad Amin b Hj Che Hassan al-Kalantani dan isteri, Rafidah bt Mohd Sheh al-Banjari. Maaf zahir dan batin. 

https://amin1982.wordpress.com 

http://amin1982.blogspot.com

[1] 16/10/06 – Ceramah Khas:Peradaban Menyambut Syawal, JAiS. 

Advertisement