Teratak Buruk

Nukilan : Amin Al-Kalantani


Nun jauh dihujung sebuah kampung ada sekeluarga yang hidup harmoni dalam keadaan yang serba kekurangan. Hidup mereka cukup rukun dan bahagia walaupun dalam suasana serba kekurangan. Inilah nikmat ketenangan yang jarang diperolehi oleh orang-orang yang banyak duit.

Hidup mereka bahagia ditambah hidup ditepian pantai yang begitu indah menggamit perasaan keinsafan kepada Pencipta. Si ayah  hanyalah seorang nelayan. Si ibu pula hanyalah seorang surirumah dan pembuat kuih. Namun kedua-duanya mempunyai jiwa besar yang tidak terfikir oleh orang lain.

Hidup mereka sekeluarga amat perit. Hasil pendapatan si suami dan si isteri tidak dapat menampung lima anak-anak mereka. Namun, demi sebuah kehidupan digagahi jua hidup ini.

“Abang, petang ni kita nak makan apa?. Lauk dah habis kat dapur…”si isteri mula bersuara kegelisahan memecahkan keheningan petang yang damai.

“Goreng sajelah nasi tu dengan ikan bilis” cadang si suami seolah. Bagi dirinya biarlah berpada-pada dengan apa saja yang ada. Maklumlah sekarang ni musim tengkujuh. Bahaya ombak badai menyebabkan semua nelayan tidak turun ke laut. Jadi duitpun tak bertambah.

“Abang kena fikir cara bagaimana nak cari duit lebih! Kita semua perlu duit nak beli makan. Anak-anak pula nak sekolah. Duit yang saya buat kuih tu tak cukup bang! “ si isteri terus bersuara.

Si suami asyik memandang ke arah laut. Tergambar olehnya rezeki Allah yang terbentang luas di dalam lautan. Itulah sumber rezeki yang halal. Dia sentiasa berpegang teguh bahawa wajib dirinya untuk memberi anak dan isteri rezeki yang halal. Walaupun rezekinya sedikit, tetapi pasti ada keberkatan.

“Bang…apa yang abang mengelamunkan lagi tu! Buatlah sesuatu…” getus si isteri lagi bila melihat si suami tidak memberi apa-apa respon.

“Yah aku ni tak pandailah nak buat kerja lain. Laut itulah saja tempat aku berpencak mencari rezeki selama ini. Kalau di atas darat ni aku tak berapa pandai!” Pak Man cuba memberi penjelasan pada isterinya Mak Yah. Memang betul dia tak pandai nak buat kerja di atas darat. Selama ni pun dia sejak kecil lagi mengikut ayahnya ke laut. Jarang sekali dia bekerja di atas darat. Itupun dia cuba buat kerja ikut-ikut orang buat rumah. Tak menjadi! Tangan baku!

“Kalau macam tu saya ajelah bekerja…abang duduk dirumah basuh baju, masak, sapu rumah, sidai kain! “ Mak Yah dah tak tahan dengan gelagat suaminya. Anggapannya memang pemalaslah orang suaminya.

“Jangan macamtu. Cukuplah dengan awak buat kuih. Tak perlu kerja lain dah. Saya cubalah cari jalan lain sementara musim tengkujuh sebulan dua bulan ni. Anak-anak dah nak cuti. Paling kurang saya cuba cari untuk kita buat makan sekeluarga” biasalah suami bila dah kena cabar, pantang dicabar. Walau tak nampak lagi apa yang nak dibuat. Cabaran mesti disahut.

Petang tu selepas solat asar berjemaah di Masjid Pak Man terus menuju ke kedai kopi. Tujuan dia nak bertanya kalau-kalau kedai kopi tu memerlukan tukang basuh pinggan ke ataupun ada sebarang kerja lain untuknya. Janji kerja halal!

Singgah di kedai kopi dia ternampak kawannya Pak Mail  sedang berbual-bual kencang dengan beberapa orang yang tak dikenalinya. Nampak meriah semacam jer. Pak Man terus meluru ke meja Pak Mail duduk. Harap-harap ada kerja yang lebih bagus sedang diperkatakan oleh mereka. Maklumlah Pak Mail pun nelayan. Mesti tak turun ke laut. Duit kena cari jugak.

“Assalamualaikum….”

“Waalaikumussalam”…

“Hah engkau Man. Baguslah kau ada sekali. Jom joint mesyuarat kami ni. Pasti kau teruja!” Pak Mail terus menyapa.

“Man…aku ada satu projek bagus punya. Nanti teratak buruk kau tu boleh jadi rumah banglo mewah.  Kapcai buruk kau tu boleh jadi kereta besar. Nanti senanglah semua anak beranak engkau!” Pak Mail begitu ghairah bercerita.

Di sebelah Pak Mail ada seorang anak muda berkaca mata.

“Ni anak kawan aku kat KL, Ikram. Hah ni kenalkan Pak Man. Orang kampung panggil Pak Man Teratak Buruk!” seloroh Pak Mail.

“ Janganlah macam tu Pak Mail. Segan pulak Pak Man ni” Ikram macam tak bersetuju dengan dengan seloroh itu. Macam menghina pun ada.

“Tak apa. Aku dah biasa dengan Mail ni. Memang rumah aku yang buruk tulah dia selalu kutuk. Maklumlah rumah dia baglo besar!”

“Pedas ko bagi aku Man. Sorilah rumah aku pun buruk macam rumah ko jugak!”

“Hah tadi beriya-riya benar ko bercerita. Apa ke benda yang korang sedang bincang tadi. Kongsilah sikit!” Pak Man dah tak sabar-sabar dengar. Harap-harap ada peluang besar datang menjelma untuk dia mencari sesuap rezeki.

“Begini Pak Man. Saya ini nak bagitau satu projek. Projek pelaburan. Labur RM1000. Dapat RM2000. Skim pelaburan ni ganda dua kali ganda. Lagi banyak labur, lagi banyak untung!” Ikram memulakan promosi.

“Mana aku nak cari duit banyak tu?!…Lani pun makan pun tak cukup!” Pak Man berterus terang.

“Ayah…ayah….balik ayah. Mak jatuh pengsan ketika masak tadi kat  dapur!” Pak Man terkejut. Dia mencari-cari arah suara tu.

“Kau Ipin. Kenapa dengan mak kau? “

“Mak tiba-tiba pengsan tengah masak tadi!”

“Ya..ya jomlah kita balik!”

Tanpa menghiraukan Pak Mail dan Ikram, Pak Man terus bergegas pulang ke rumah. Dilihatnya jirannya Mak Siah dah berada di sisi isterinya cuba membantu sedaya upaya. Pak Man jadi tak keruan kerana sebelum ini isterinya tak pernah jatuh pengsan. Kenapalah agaknya kali ini.

“Letih sangat kot Yah ni Man. Siang masak malam buat kuih. Pagi-pagi lagi dah ke kedai hantar kuih. Nak cari rezeki untuk keluarga!”

Kehilangan isterinya cukup terasa oleh Pak Man. Dia jadi tak keruan. Sepanjang kehidupan suami isteri selama ini menjadi kenangan yang terlipat dalam ukiran sejarah. Namun harapan isterinya sentiasa segar dalam ingatannya.

“Abang…Yah rasa umur Yah dah tak berapa panjang lagi dah!”

“Jangan cakap macam tu Yah. Ajal maut semuanya di tangan Tuhan. Bukan kita yang tentukan. Yah kena kuat. Kami semua perlukan Yah…” berjurai air mata Pak Man tidak tertahan melihat keadaan isterinya kini.

Mak Yah telah disahkan mengidap penyakit kanser tulang tahap kronik. Hanya 20% sahaja harapan untuk sembuh. Kos perubatan untuk ke luar Negara mencecah ribuan ringgit. Pak Man tidak mampu menyediakan duit sebanyak itu dalam sekelip mata.

“Abang…Kalau saya pergi dulu dari abang. Janjilah agar abang tidak mengabaikan anak-anak kita. Yang penting agama mereka abang perhatikan betul-betul.”…itulah kata-kata terakhir yang keluar daripada mulut Mak Yah. Selepas itu dia diserang kesakitan yang amat sangat.

Tepat jam 10.00 malam itu, Mak Yah menghembuskan nafas terakhir di katil hospital. Malam itu sepi dan sayu. Hanya terdengar tangisan dan esak yang cuba ditahan oleh mereka anak-beranak. Pak Man mengingatkan anak-anaknya agar jangan menangis keterlaluan kerana Islam tidak membenarkannya.

Jauh di sudut hati Pak Man pemergian isterinya semacam kehilangan sebahagian  kehidupannya. Hatinya meratap menahan air mata sendu. Ya Allah…kuatkanlah aku untuk keluargaku.

Kini setelah berpulu-puluh tahun lamanya teratak buruk dekat laut itu sudah tidak berpenghuni. Namun, hati Pak Man dan Iman anak sulungnya menjadi sayu mengenangkan perjuangan mereka selama ini untuk meneruskan kehidupan demi sesuap rezeki. Alhamdulillah kini berkat kesabaran dan usaha bersungguh-sungguh anak-anaknya telah menjadi asbab mereka dapat keluar dari kesusahan.

Iman setiap kali mengingati ibunya pasti mengalir air mata kerana di atas segala pengorbanan ibunya yang begitu bersemangat membantu ayahnya untuk menyara dan mendidik mereka adik beradik.

Alhamdulillah anak-anak Pak Man dan Mak Yah menjadi. Si Iman menjadi Doktor di Shah Alam. Si Najib pula Jurutera di Kuala Lumpur. Si Imah pula menjadi Guru di Kelantan. Si Rahimah pula di tahun akhir dalam jurusan Syariah di UM. Anak bongsunya pula, Ikram sedang menuntut di Universiti Al-Azhar dalam Jurusan Pengajian Al-Quran.

Pak Man sendiri sudah menjangkau lanjut usia. Kini dia tinggal bersama Iman di Shah ALam. Namun jauh dilubuk hatinya rindu kepada teratak buruk di kampungnya dulu. Disitulah bermula segala-galanya.

Bila dengar berita tangkapan kepada beberapa individu yang menjadi sendiket pelaburan, dia tersenyum sendiri. Apakah Pak Mail kawan lamanya dulu turut menjadi mangsa?. Entahlah harapnya tidak.

Bila ditanya orang apakah rahsia di sebalik kejayaan semua anak-anaknya, Pak Man hanya menjawab di sepatah ayat:

“Teratak buruk dan rezeki yang halal”…

Amin Al-Kalantani

31 July 2010

Teratak AMRA

Shah ALam, 2010.

Noted : Cerpen ini telah dihantar ke penulisan2u. Link http://www.penulisan2u.my/2010/08/cerpen-teratak-buruk/

One thought on “Teratak Buruk

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s